Tuesday, October 14, 2008

CIMB Islamic terima Anugerah Global

CIMB Islamic dipilih menerima Anugerah Global untuk 'Bank Pelaburan Islam Tahunan' daripada majalah The Banker, ahli Kumpulan Financial Times yang berpangkalan di United Kingdom, bagi dua tahun berturut-turut.

Anugerah itu disampaikan kepada CIMB Group pada majlis di London, baru-baru ini yang dihadiri lebih 150 pegawai kanan perbankan pelaburan seluruh dunia.

Ketua Eksekutif CIMB Islamic, Badlisyah Abdul Ghani, berkata anugerah itu menjadi bukti bagi kejayaan bank dengan menyaksikan kemampuannya mengekalkan daya kepemimpinan global dalam penyelesaian perbankan pelaburan Islam.

"Anugerah ini juga memperlihatkan kejayaan kami mengembangkan cawangan perbankan Islam di peringkat global," katanya menerusi kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, CIMB Islamic kini terbabit dalam spektrum perbankan serta kewangan yang menyeluruh dan bukan hanya terhad kepada kegiatan pasaran modal.

Anugerah yang diterima itu adalah bagi menghargai pencapaian CIMB Islamic dalam sektor bon Islam (sukuk), pasaran ekuiti Islam dan peranannya dalam pengurusan aset Islam.

Sebagai tambahan, pengembangan bank secara dinamik dalam produk derivatif dan pelaburan berstruktur Islam adalah antara kriteria pilihannya.

Badlisyah berkata, CIMB Islamic akan terus mempamerkan kekuatannya dalam menstruktur dan keupayaan pengagihannya menerusi rangkaian lebih besar bagi pelabur di Asia Timur dan Asia Barat.

Katanya, tumpuan bank ialah untuk terus mengembangkan perniagaan pada peringkat global dengan memberi penekan di Asia Tenggara dan Asia Barat.

"Kami mahu mengembangkan pasaran kewangan dengan menyediakan pelanggan akses kepada penyelesaian kewangan moden dan bersesuaian berasaskan syariah," katanya.

No comments: