CIMB Wealth unjur pencapaian berdasarkan pengenalan produk baru, produktiviti ejen
CIMB Wealth Advisors Bhd (CIMB Wealth), syarikat pengurusan dana amanah terbesar Kumpulan CIMB, menjangka nilai dana diuruskannya termasuk dana milik CIMB-Principal Asset Management Bhd (CIMB Principal) meningkat kepada kira-kira RM19 bilion pada akhir tahun ini.
Ketika ini, CIMB Wealth dan CIMB-Principal menguruskan dana berjumlah RM16.3 bilion bagi tempoh 30 Jun lalu dengan RM6.8 bilion membabitkan dana daripada pelabur runcit manakala selebihnya dana pelabur institusi dan syarikat korporat.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Wealth, Tan Beng Wah, berkata sasaran pertumbuhan itu mampu dicapai menerusi pengenalan produk baru, peningkatan produktiviti ejen serta kegiatan pemasaran yang lebih berkesan.
Beliau berkata, operasi CIMB Wealth yang sebelum ini dikenali sebagai SBB Mutual Bhd disokong kira-kira 4,200 ejen pemasaran termasuk perancang kewangan yang beroperasi di 35 cawangan di seluruh negara dan bilangannya diunjurkan meningkat kepada kira-kira 5,000 ejen akhir tahun ini.
“Kami menguruskan dana milik 150,000 pelanggan dengan separuh daripada ejen atau perunding kewangan adalah Bumiputera dan kami mahu menambah jumlah ejen selari dengan perkembangan produk dana amanah setiap tahun.
“Ketika ini, industri dianggap kekurangan perunding kewangan sedangkan sektor ini menyaksikan pertumbuhan pesat berikutan penawaran pelbagai jenis produk berkaitan kewangan untuk memenuhi kehendak pelanggan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian cawangan CIMB Wealth oleh Pengerusinya, Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin di Damansara Utama semalam.
Hadir sama Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Asia Principal International (Asia) Ltd, Rex Auyeung.
Cawangan bank itu sebahagian daripada proses penjenamaan semula CIMB Wealth yang menyediakan perkhidmatan kioks bagi kemudahan pelanggan membuat semakan harga harian dana amanah dan maklumat berkaitan tanpa perlu mendapatkan bantuan daripada pegawai khidmat pelanggan.
Tan berkata, ketika ini, 13 cawangan sedia ada dan 18 pejabat jualan CIMB Wealth sudah diubah suai dan beroperasi sepenuhnya dengan beberapa kemudahan tambahan termasuk bilik mesyuarat.
Beliau berkata, CIMB Wealth ketika ini menawarkan 56 dana meliputi dana ekuiti, dana berimbang, dana pendapatan tetap dan dana tunai selain menguruskan dana pihak ketiga dengan jumlah keseluruhan sebanyak 80 dana.
Katanya, syarikat juga bercadang memperkenalkan dana baru berkonsepkan tiga dalam satu menggabungkan unit dana amanah, insurans dan pendidikan pada September tahun ini sebagai tambahan kepada dana sedia ada.
Sementara itu, ditanya sama ada langkah Tune Money Sdn Bhd (Tune Money) menawarkan perkhidmatan dana amanah secara dalam talian akan memberi saingan kepada CIMB Wealth, Beng Wah berkata, produk ditawarkan akan memperluaskan rangkaian produk dalam kumpulan CIMB.
Bagaimanapun, katanya, konsep ditawarkan berbeza kerana CIMB Wealth menyediakan perkhidmatan nasihat kewangan secara peribadi menerusi khidmat perunding kewangan berbanding produk itu disediakan secara dalam talian.
Tuesday, October 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment